Saturday, December 19, 2009

Memori - Aku Budak Kampung2

Aku bersekolah di sek. keb. tebong hingga tamat darjah enam. Di dalam kelas aku berada di tangga 1-10. So, aku bukan berada dalam kategori yang kurang pandai. Sekolah rendah berlalu begitu sahaja. Rutin bersekolah seperti biasa. Budak kampung macam aku tidak pernah ke sekolah dengan duit belanja. Seperti biasa bawa bekal. Bekalpun bukan macam budak sekarang. Tapi alhamdulillah kami bersekolah dengan gembira.

Aku duduk dengan atuk dan nenek waktu itu. Ibu bapa aku berada di estate. Abang sulong aku waktu itu telah bekerja dengan TLDM, jadi beliau menanggung kami dengan menghantar wang belanja. Tapi entah macam mana kami tetap merasa susah ketika bersekolah. Uniform kami hanya sepasang dan kasut sekolah pulak, kami dibelikan kasut sekolah yang plastik. Senang untuk dibasuh. Masaalahnya kasut itu mudah koyak, jadi kami terpaksa menjahitnya. Stokin pula jangan cakap, memang sepasang. Koyakpun pakai juga, tapi tak apa sebab dia di dalam kasut, so tak nampaklah koyaknya tu.

Dulu nenek selalu tinggalkan kami sendirian. Dia ke rumah anak bongsunya di bemban, jasin. Beliau bekerja sebagai bidan kerajaan. Kami ditinggalkan agak lama juga. Adakalanya sampai 4 ke 5 hari. Jadi kami adik beradik pandai-pandailah sendiri. Selalunya aku yg dipertanggung jawabkan. Kami makan apa aje yang ada. Selalunya aku masak sambal tumis, jadi bolehlah dimakan untuk 2 hari. Kalau tak ada lauk, aku kutip pucuk ubi atau cemperai di belukar berhampiran rumah. Atau kadang-kadang aku buat bubur nasi berlemak (masak dengan santan). Kelapa aku panjat untuk dapat buahnya. Atau kadang-kadang ikan masin masak lemak atau apa-apa ajelah. Kesian jugak, tinggal adik-beradik macam tu. Selalunya kalau nenek aku balik dari bemban, atuk aku pulak ke k.lumpur jenguk anak-anaknya. Kami sebenarnya tidak dapat perhatian. Solat dan ibadah kami juga tidak di titik beratkan. Syukur aku tidak terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Walaupun peluang itu memang sangat terbuka. Namun dari segi pembelajaran agama, kami tidak lengkap. Aku hanya tahu melalui ustaz2 di sekolah. Hanya di sekolah saja pembelajaran aku. Aku tidak pernah khatam al-quran. Tapi kini aku pelajari apa yang aku tertinggal. Alhamdulillah aku telah banyak kali khatam al-quran, bahkan aku juga boleh mengajar anak-anak mengaji dan jiran-jiran pun menumpangkan anak-anaknya mengaji dengan aku. Aku pastikan anak-anak mendapat secukup pelajaran agama dan khatam al-quran. Mereka telahpun khatam 3 kali. Anak aku yang bongsu, satu-satunya lelaki telah aku hantar ke sekolah separuh tahfiz. Dia yang kini berusia 8 tahun telahpun boleh menghafaz sehingga surah abbasa. Alhamdulillah. Setiap pengalaman yang pahit aku lalui, aku perbaiki ketika mendidik anak-anak aku. Aku amat berharap agar Allah sentiasa melindungi aku dan anak-anakku dan juga dijauhi kami dari melakukan maksiat dan mungkar. Amin.

Ketika mula bersekolah menengah, aku semakin merasa perit akan kehidupan yang aku lalui. Aku sentiasa penat dengan kerja sekolah dan rumah. Di rumah segala benda terpaksa aku buat. Nenek pulak pantang salah sikit, dia punya berleter menjela-jela. Bahkan mesti mengungkit setiap yang dia bagi. Bila mula naik tingkatan 3, aku mula nak tuang buat kerja-kerja kat rumah. Aku mula aktif sukan dan jadi pustakawan. Aku boleh balik lambat. Sampai rumah biasanya dah nak maghrib. Aku selalu cuba nak elakkan diri dari duduk di rumah. Tapi ke mana nak pergi, balik ke sekolah memang itulah tempatnya. Belajar untuk peperiksaan srp pun pandai-pandailah sendiri. Bila cakap nak balik lewat untuk belajar, nenek punya bising dan dia memang tak bagi aku balik lambat. Akhirnya keputusan srp aku kurang memberangsangkan. Akhirnya bila naik tingkat 4, aku diturunkan ke kelas B. Selepas SRP aku memohon untuk memasuki sekolah vokasional di alor gajah, dan permohonan aku diluluskan. Aku memang bersemangat untuk pergi ke sekolah itu, tetapi malangnya nenek aku tidak membenarkannya. Malah untuk ke sekolah itu perlu banyak perbelanjaan, jadi alasannya dia tidak punya duit untuk kemasukan itu. Walhal, aku telah pun memaklumkan perkara itu dengan abang dan dia bersetuju untuk memberi duit tapi akan daya duit tu sampai ke tangan nenek. Malang nasib, aku tidak berkesempatan untuk ke sekolah vokasional.

Bila waktu cuti-cuti sekolah, kami dihantar kepada ibu bapa kami di estate. Kami menolong mereka menoreh getah. Kerja kami memungut getah beku dan mengangkat getah bila tiba waktunya. Adakalah seronok sebab dapat duduk dengan emak dan abah. Dapatlah kami merasa masakan emak. Walaupun serba kekurangan tapi aku off house work. Seronok. Duduk di estate kami berkawan dengan budak-budak india dan ada seorang dua budak cina. Nak kata pandai cakap india taklah tapi bolehlah sikit-sikit. Ada sekali peristiwa ketika menolong emak di kebun, ketika kami mengangkat getah, adik lelaki aku telah jatuh dengan baldi yang penuh getah cair. Bayangkanlah waktu itu! Kami ketawa bagai nak rak. Tapi mujurlah di kebun tu ada anak sungai. Jadi aku bersihkan dia di situ. Getah ketika cair agak mudah untuk dibersihkan. Tetapi ada jugak sikit-sikit di rambut yang tak hilang, so kena gunting. Hingga kini bila diingat-ingatkan peristiwa itu pasti kami ketawa. Di kebun getah, macam-macam perkara yang kami lalui. Kami pernah jumpa lipan, ular dan adakalanya terpaksa melalui kadang khinzir. Meloyakan!

Bila sekolah di buka, pasti cikgu tanya pengalaman sewaktu bercuti. Kawan-kawan yang pergi melancong (jalan-jalan) seronok menceritakan pengalaman mereka, aku selalunya senyap tak bercerita. Kehidupan di ladang getah adakala seronok jugak. Bila waktu hujan, selalunya emak dan abah tak menoreh sebab pokok-pokok getah basah. Itu bermakna mereka tak ada gaji. Itulah nasib, takdir menentukan segalanya. Setiap kali cuti sekolah berakhir dan perlu balik ke kampung semula aku akan merasa sedih. Sedih sebab duduk jauh dengan emak dan abah dan sedih sebab terpaksa membuat kerja-kerja di rumah.!!

Well, next time cerita lagi. Aku dah pun 16 tahun!

No comments:

Post a Comment