Thursday, December 3, 2009

Memori - Zaman sekolah 2

Mengenang zaman sekolah memang menyeronokkan. Rasa macam tak nak jadi dewasa. Semasa bersekolah rendah, aku pernah bersekolah di sek. keb. semenyih dan sek. keb. batang benar, nilai. Ibu bapa aku penoreh getah, jadi mereka berpindah-pindah estate.

Semasa di semenyih aku berada di dalam darjah 2. Tak berapa ingat akan peristiwa yang berlaku. Apa yang aku ingat, abang yang dua tahun lebih tua dari aku pernah dilanggar oleh beca yang membawa ayam. Habis ayam-ayam tu terlepas. Kecoh pekan semenyih masa tu. Kesian aku tengok apek yang membawa beca ayam tu.

Semasa di Nilai, kami berdua ke sekolah dengan menaiki basikal. Bayangkanlah abang aku mengayuh basikal sejauh 6 batu dengan mengendong aku di belakang. Bila tiba kawasan yang berbukit, kami turun dan menolak basikal. Tiba di kawasan yang menurun, seronok basikal menurun bukit dengan laju. Pernah satu hari kami terserempak dengan lori yang membawa ikan terbalik. Berlambak ikan-ikan di tengah jalan. Akibat penat untuk mengayuh basikal, abang aku telah meminta untuk pergi ke sekolah dengan menaiki bas. Mungkin kesian atau bimbang akan keselamatan kami, kami dibenarkan untuk menaiki bas. Waktu itu tambang bas berharga 20 sen seorang. Selalunya abang aku yang menyimpan duit tambang, tapi pada satu hari aku merenggek untuk menyimpannya sendiri. Masa pergi abang yang membayar tapi untuk balik aku simpan. Kami ke sekolah bawa bekal, maklumlah adik beradik ramai, ibu bapa pula hanya menoreh jadi duit untuk berbelanja tak cukup. Pada hari aku menyimpan duit tambang sendiri, tanpa aku sedari poket baju sekolah biru aku berlubang. Jadi duit tambang tu hilang entah kat mana. Bila tiba waktu balik sekolah baru perasan akan kehilangan duit itu. Apa lagi mengamuklah abang aku. Nak buat macam mana duit tu dah hilang. Maka abang aku suruh aku balik dengan duit dia, tapi aku tak nak. Takut naik bas seorang-orang. Lalu abang aku belanja duit dia dengan membeli ais krim. Abang aku mengambil keputusan untuk balik dengan berjalan kaki. Jenuh kami berjalan mengikut rel keretapi. Jauh tu! Bila keretapi lalu, kami berdua beradik ke tepi. Aku memang takut pada waktu itu. Bila kami sampai di kawasan estate, sudah lewat petang. DI kawasan masuk estate tu ada sebatang anak sungai, airnya jernih. Kami berehat di situ, sambil membasahkan kepala dan membasuh muka. Kebetulan ada sebatang pokok yang sedang berbuah dan masak ranum. RUpanya seperti seakan-akan buah pic tapi ia berwarna merah jambu, memang terliur. Kebetulan kami memang lapar. Apa lagi abang aku pun baling lah buah tu dengan kayu. Kami kira buah itu tentu manis dan sedap, tetapi bila saja kami mengigitnya, masya allah dah lah masam lepas tu kelat pulak tu. Apa lagi, abang aku paksa aku menghabiskan sebiji buah tersebut sebagai denda. Nak tak nak terpaksa habiskan.

Sampai di rumah, emak punyalah berleter dan kami di marahinya. Bila dia dah cool down, baru kami ceritakan hal sebenar. Semenjak itu, taubat aku tak pegang duit tambang lagi. Aku bersekolah di sekolah tersebut hanya setahun saja sebab abang dah mula bersekolah menengah, jadi aku tidak dibenarkan ke sekolah seorang diri; Tahun-tahun berikutnya aku bersekolah di kampung kerana 3 adik yang di bawah aku mula dah nak bersekolah.. Akibat ketidak mampuan ibu bapa aku, kami yang kecil-kecil tinggal di kampung bersama-sama dengan atuk dan nenek.

Okeylah, esok-esok cerita lagi. Memori bersekolah di kampung dan kehidupan kami sewaktu menjadi budak kampung. Bye.

No comments:

Post a Comment