Saturday, December 19, 2009

Memori - Aku Budak Kampung2

Aku bersekolah di sek. keb. tebong hingga tamat darjah enam. Di dalam kelas aku berada di tangga 1-10. So, aku bukan berada dalam kategori yang kurang pandai. Sekolah rendah berlalu begitu sahaja. Rutin bersekolah seperti biasa. Budak kampung macam aku tidak pernah ke sekolah dengan duit belanja. Seperti biasa bawa bekal. Bekalpun bukan macam budak sekarang. Tapi alhamdulillah kami bersekolah dengan gembira.

Aku duduk dengan atuk dan nenek waktu itu. Ibu bapa aku berada di estate. Abang sulong aku waktu itu telah bekerja dengan TLDM, jadi beliau menanggung kami dengan menghantar wang belanja. Tapi entah macam mana kami tetap merasa susah ketika bersekolah. Uniform kami hanya sepasang dan kasut sekolah pulak, kami dibelikan kasut sekolah yang plastik. Senang untuk dibasuh. Masaalahnya kasut itu mudah koyak, jadi kami terpaksa menjahitnya. Stokin pula jangan cakap, memang sepasang. Koyakpun pakai juga, tapi tak apa sebab dia di dalam kasut, so tak nampaklah koyaknya tu.

Dulu nenek selalu tinggalkan kami sendirian. Dia ke rumah anak bongsunya di bemban, jasin. Beliau bekerja sebagai bidan kerajaan. Kami ditinggalkan agak lama juga. Adakalanya sampai 4 ke 5 hari. Jadi kami adik beradik pandai-pandailah sendiri. Selalunya aku yg dipertanggung jawabkan. Kami makan apa aje yang ada. Selalunya aku masak sambal tumis, jadi bolehlah dimakan untuk 2 hari. Kalau tak ada lauk, aku kutip pucuk ubi atau cemperai di belukar berhampiran rumah. Atau kadang-kadang aku buat bubur nasi berlemak (masak dengan santan). Kelapa aku panjat untuk dapat buahnya. Atau kadang-kadang ikan masin masak lemak atau apa-apa ajelah. Kesian jugak, tinggal adik-beradik macam tu. Selalunya kalau nenek aku balik dari bemban, atuk aku pulak ke k.lumpur jenguk anak-anaknya. Kami sebenarnya tidak dapat perhatian. Solat dan ibadah kami juga tidak di titik beratkan. Syukur aku tidak terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Walaupun peluang itu memang sangat terbuka. Namun dari segi pembelajaran agama, kami tidak lengkap. Aku hanya tahu melalui ustaz2 di sekolah. Hanya di sekolah saja pembelajaran aku. Aku tidak pernah khatam al-quran. Tapi kini aku pelajari apa yang aku tertinggal. Alhamdulillah aku telah banyak kali khatam al-quran, bahkan aku juga boleh mengajar anak-anak mengaji dan jiran-jiran pun menumpangkan anak-anaknya mengaji dengan aku. Aku pastikan anak-anak mendapat secukup pelajaran agama dan khatam al-quran. Mereka telahpun khatam 3 kali. Anak aku yang bongsu, satu-satunya lelaki telah aku hantar ke sekolah separuh tahfiz. Dia yang kini berusia 8 tahun telahpun boleh menghafaz sehingga surah abbasa. Alhamdulillah. Setiap pengalaman yang pahit aku lalui, aku perbaiki ketika mendidik anak-anak aku. Aku amat berharap agar Allah sentiasa melindungi aku dan anak-anakku dan juga dijauhi kami dari melakukan maksiat dan mungkar. Amin.

Ketika mula bersekolah menengah, aku semakin merasa perit akan kehidupan yang aku lalui. Aku sentiasa penat dengan kerja sekolah dan rumah. Di rumah segala benda terpaksa aku buat. Nenek pulak pantang salah sikit, dia punya berleter menjela-jela. Bahkan mesti mengungkit setiap yang dia bagi. Bila mula naik tingkatan 3, aku mula nak tuang buat kerja-kerja kat rumah. Aku mula aktif sukan dan jadi pustakawan. Aku boleh balik lambat. Sampai rumah biasanya dah nak maghrib. Aku selalu cuba nak elakkan diri dari duduk di rumah. Tapi ke mana nak pergi, balik ke sekolah memang itulah tempatnya. Belajar untuk peperiksaan srp pun pandai-pandailah sendiri. Bila cakap nak balik lewat untuk belajar, nenek punya bising dan dia memang tak bagi aku balik lambat. Akhirnya keputusan srp aku kurang memberangsangkan. Akhirnya bila naik tingkat 4, aku diturunkan ke kelas B. Selepas SRP aku memohon untuk memasuki sekolah vokasional di alor gajah, dan permohonan aku diluluskan. Aku memang bersemangat untuk pergi ke sekolah itu, tetapi malangnya nenek aku tidak membenarkannya. Malah untuk ke sekolah itu perlu banyak perbelanjaan, jadi alasannya dia tidak punya duit untuk kemasukan itu. Walhal, aku telah pun memaklumkan perkara itu dengan abang dan dia bersetuju untuk memberi duit tapi akan daya duit tu sampai ke tangan nenek. Malang nasib, aku tidak berkesempatan untuk ke sekolah vokasional.

Bila waktu cuti-cuti sekolah, kami dihantar kepada ibu bapa kami di estate. Kami menolong mereka menoreh getah. Kerja kami memungut getah beku dan mengangkat getah bila tiba waktunya. Adakalah seronok sebab dapat duduk dengan emak dan abah. Dapatlah kami merasa masakan emak. Walaupun serba kekurangan tapi aku off house work. Seronok. Duduk di estate kami berkawan dengan budak-budak india dan ada seorang dua budak cina. Nak kata pandai cakap india taklah tapi bolehlah sikit-sikit. Ada sekali peristiwa ketika menolong emak di kebun, ketika kami mengangkat getah, adik lelaki aku telah jatuh dengan baldi yang penuh getah cair. Bayangkanlah waktu itu! Kami ketawa bagai nak rak. Tapi mujurlah di kebun tu ada anak sungai. Jadi aku bersihkan dia di situ. Getah ketika cair agak mudah untuk dibersihkan. Tetapi ada jugak sikit-sikit di rambut yang tak hilang, so kena gunting. Hingga kini bila diingat-ingatkan peristiwa itu pasti kami ketawa. Di kebun getah, macam-macam perkara yang kami lalui. Kami pernah jumpa lipan, ular dan adakalanya terpaksa melalui kadang khinzir. Meloyakan!

Bila sekolah di buka, pasti cikgu tanya pengalaman sewaktu bercuti. Kawan-kawan yang pergi melancong (jalan-jalan) seronok menceritakan pengalaman mereka, aku selalunya senyap tak bercerita. Kehidupan di ladang getah adakala seronok jugak. Bila waktu hujan, selalunya emak dan abah tak menoreh sebab pokok-pokok getah basah. Itu bermakna mereka tak ada gaji. Itulah nasib, takdir menentukan segalanya. Setiap kali cuti sekolah berakhir dan perlu balik ke kampung semula aku akan merasa sedih. Sedih sebab duduk jauh dengan emak dan abah dan sedih sebab terpaksa membuat kerja-kerja di rumah.!!

Well, next time cerita lagi. Aku dah pun 16 tahun!

Friday, December 11, 2009

Memori - Aku Budak Kampung

Awal tahun 1973, aku mula bersekolah di kampung. Aku berada di dalam darjah 4. Kawan-kawan aku terdiri dari budak-budak kampung yang kebanyakannya ada pertalian darah (bersaudara) dan selebihnya budak-budak dari kawasan estate yang berhampiran. Seronok duduk di kampung.

Nenek dan atuk bekerja sendiri. Kerja-kerja kampung. Aku selepas waktu persekolahan terpaksa menolong nenek menguruskan adik-adik (seramai 3 org lagi di bawah aku). Urusan dan kerja di rumah, biasanya aku yang terpaksa siapkan.

Waktu itu, nenek dan atuk ada ternakan ayam, itik, lembu dan kambing. Mereka juga mengerjakan sawah padi. Bila tiba waktu mengubah anak padi dari tapak semaian ke sawah, aku turut sama-sama menolong. Itupun hanya pada hujung minggu dan hari-hari cuti. Ser0nok bersawah ni, terutama ketika padi-padi mula masak menguning. Aku dan adik-adik ditugaskan menjaga padi dari burung-burung. Kami akan membunyikan tin-tin kosong untuk menghalau burung. Bila padi sudah boleh dituai, kami sama-sama menuai dan membanting padi. Waktu itu memang penat. Bila padi sudah dianginkan ia perlu dijemur dan disimpan di dalam kui iaitu sejenis tempat untuk menyimpan padi. Bila tiba waktu padi itu perlu ditumbuk untuk menghasilkan beras, kami adik-beradik akan saling tolak menolak untuk menumbuknya. Proses menumbuk memakan masa yang agak lama. Tapi yang tidak boleh dilupakan ialah bau wangi nasi beras baru yang ditanak. Harum dan rasanya memang sedap! Ah rindu pada bau nasi tersebut. Ia ditanak menggunakan dapur kayu api. Memang wangi dan sedap.

Selesai musim menuai, jerami padi perlu dibakar untuk proses membajak semula dan bermulalah semula proses menanam padi. Ketika waktu membajak sawah-sawah, waktu ini amat seronok sekali. Kami akan mengikut di belakang orang yang membajak dengan timba-timba kosong untuk memungut ikan-ikan seperti keli, sepat dan haruan. Pada ketika ini keadaannya umpama pesta bagi kami. Bergelumang dengan lumpur. Masa itu tak terfikir dengan lintah-lintah. Memang menyeronokkan.

Jika di luar musim ke sawah, kami akan melakukan aktiviti memancing, kadang kala kami ke belukar yang berhampiran mencari cendawan, buah kelubi, pucuk cemperai macam-macamlah aktiviti kami. Ada kalanya kami beramai mandi sungai, atau anak air. Zaman kanak-kanak memang seronok.

Kami di kampung menggunakan dapur kayu. Jadi tugas aku menolong nenek mencari kayu api di kebun-kebun getah. Memungut dahan atau kayu untuk digunakan semasa memasak. Kerja aku juga menimba air perigi untuk diisi di dalam tempayan. Seawal usia 10 tahun aku sudah pandai menanak nasi dan menggiling cili. Bila aku meningkat dewasa, semakin banyak tugas-tugas yang perlu aku buat. Mencari rumput untuk lembu, memasukkan kambing ke reban pada waktu senja, memberi ayam itik makan. Kerja-kerja rumah telah diwajibkan ke atas aku untuk diuruskan. Kalau memasak, bukan lagi setakat nasi dan menggiling cili sahaja, malah sudah pandai memasak beberapa jenis lauk. Malang rasanya pada waktu itu, tapi rupa-rupanya ia pengalaman yang berguna pada waktu kini. Rasa-rasanya budak-budak zaman sekarang boleh ke buat kerja-kerja yang macam tu?

Bila aku mula memasuki sekolah menengah, bagi aku beban tugas semakin banyak. Perlu menyiapkan kerja-kerja sekolah, kerja di rumah lagi. Aku rasakan seolah-olah ia satu bebanan yang agak berat. !!!!

Thursday, December 3, 2009

Memori - Zaman sekolah 2

Memori - Zaman sekolah 2

Mengenang zaman sekolah memang menyeronokkan. Rasa macam tak nak jadi dewasa. Semasa bersekolah rendah, aku pernah bersekolah di sek. keb. semenyih dan sek. keb. batang benar, nilai. Ibu bapa aku penoreh getah, jadi mereka berpindah-pindah estate.

Semasa di semenyih aku berada di dalam darjah 2. Tak berapa ingat akan peristiwa yang berlaku. Apa yang aku ingat, abang yang dua tahun lebih tua dari aku pernah dilanggar oleh beca yang membawa ayam. Habis ayam-ayam tu terlepas. Kecoh pekan semenyih masa tu. Kesian aku tengok apek yang membawa beca ayam tu.

Semasa di Nilai, kami berdua ke sekolah dengan menaiki basikal. Bayangkanlah abang aku mengayuh basikal sejauh 6 batu dengan mengendong aku di belakang. Bila tiba kawasan yang berbukit, kami turun dan menolak basikal. Tiba di kawasan yang menurun, seronok basikal menurun bukit dengan laju. Pernah satu hari kami terserempak dengan lori yang membawa ikan terbalik. Berlambak ikan-ikan di tengah jalan. Akibat penat untuk mengayuh basikal, abang aku telah meminta untuk pergi ke sekolah dengan menaiki bas. Mungkin kesian atau bimbang akan keselamatan kami, kami dibenarkan untuk menaiki bas. Waktu itu tambang bas berharga 20 sen seorang. Selalunya abang aku yang menyimpan duit tambang, tapi pada satu hari aku merenggek untuk menyimpannya sendiri. Masa pergi abang yang membayar tapi untuk balik aku simpan. Kami ke sekolah bawa bekal, maklumlah adik beradik ramai, ibu bapa pula hanya menoreh jadi duit untuk berbelanja tak cukup. Pada hari aku menyimpan duit tambang sendiri, tanpa aku sedari poket baju sekolah biru aku berlubang. Jadi duit tambang tu hilang entah kat mana. Bila tiba waktu balik sekolah baru perasan akan kehilangan duit itu. Apa lagi mengamuklah abang aku. Nak buat macam mana duit tu dah hilang. Maka abang aku suruh aku balik dengan duit dia, tapi aku tak nak. Takut naik bas seorang-orang. Lalu abang aku belanja duit dia dengan membeli ais krim. Abang aku mengambil keputusan untuk balik dengan berjalan kaki. Jenuh kami berjalan mengikut rel keretapi. Jauh tu! Bila keretapi lalu, kami berdua beradik ke tepi. Aku memang takut pada waktu itu. Bila kami sampai di kawasan estate, sudah lewat petang. DI kawasan masuk estate tu ada sebatang anak sungai, airnya jernih. Kami berehat di situ, sambil membasahkan kepala dan membasuh muka. Kebetulan ada sebatang pokok yang sedang berbuah dan masak ranum. RUpanya seperti seakan-akan buah pic tapi ia berwarna merah jambu, memang terliur. Kebetulan kami memang lapar. Apa lagi abang aku pun baling lah buah tu dengan kayu. Kami kira buah itu tentu manis dan sedap, tetapi bila saja kami mengigitnya, masya allah dah lah masam lepas tu kelat pulak tu. Apa lagi, abang aku paksa aku menghabiskan sebiji buah tersebut sebagai denda. Nak tak nak terpaksa habiskan.

Sampai di rumah, emak punyalah berleter dan kami di marahinya. Bila dia dah cool down, baru kami ceritakan hal sebenar. Semenjak itu, taubat aku tak pegang duit tambang lagi. Aku bersekolah di sekolah tersebut hanya setahun saja sebab abang dah mula bersekolah menengah, jadi aku tidak dibenarkan ke sekolah seorang diri; Tahun-tahun berikutnya aku bersekolah di kampung kerana 3 adik yang di bawah aku mula dah nak bersekolah.. Akibat ketidak mampuan ibu bapa aku, kami yang kecil-kecil tinggal di kampung bersama-sama dengan atuk dan nenek.

Okeylah, esok-esok cerita lagi. Memori bersekolah di kampung dan kehidupan kami sewaktu menjadi budak kampung. Bye.

Tuesday, December 1, 2009

Memori - zaman sekolah 1

Tahun 2010 yang bakal menjelang ini, cukuplah 30 tahun aku meninggalkan zaman persekolahan. 30 tahun cukup lama. Sepanjang 30 tahun ini, banyak yang telah aku lalui. Pelbagai peristiwa yang telah aku alami. Tetapi sebenarnya peristiwa yang berlaku sepanjang aku bersekolah di ssms pulau sebang amat bermakna sekali.

Aku amat-amat berterima kasih kepada guru-guru yang pernah mengajar aku ketika di sekolah tersebut. Antara yang masih aku ingat Cikgu Rahim Hussin (mengajar sejarah dan bahasa). Cara beliau mengajar membuatkan aku meminati pelajaran tersebut. Puan Ann Mutiah yang mengajar perdagangan, Cikgu Mat Shah Lisut, Cikgu Fatimah dan beberapa cikgu lagi. Walau pun aku murid yang selalu tinggalkan kelas kerana latihan sukan, tapi rasanya akulah yang paling diingati kerana tidak pernah dapat menyiapkan kerja-kerja sekolah! (rasanya kalau anak aku buat macam ni , panjanglah leter aku).

Aku memang minat gile dengan sukan. Di sekolah, aku terkenal dengan nama rosnah kijang, konon-kononnya kuat lari (perasan). Acara balapan yang menjadi kegemaran aku ialah lompat pagar, 100m, 200m, 400m dan larian relay. Aku pernah bertanding sehingga peringkat daerah (aje!). Tetapi sebenarnya, akibat banyak waktu dihabiskan di padang, aku jauh ketinggalan di dalam pelajaran. Waktu itu aku tak mampu mengikuti kelas tution (tak macam budak sekarang). Jadi resultnya, hancus. Hajat nak mengulang semula setahun lagi di sekolah, tapi disebabkan tak cukup perbelanjaan kerana keadaan kewangan keluarga yang tidak mengizinkan, maka hasrat itu terbiar begitu saja.. Apa nak buat.


Well, rasanya cukup sampai di sini saja dulu, esok-esok sambung lagi.