Friday, December 11, 2009

Memori - Aku Budak Kampung

Awal tahun 1973, aku mula bersekolah di kampung. Aku berada di dalam darjah 4. Kawan-kawan aku terdiri dari budak-budak kampung yang kebanyakannya ada pertalian darah (bersaudara) dan selebihnya budak-budak dari kawasan estate yang berhampiran. Seronok duduk di kampung.

Nenek dan atuk bekerja sendiri. Kerja-kerja kampung. Aku selepas waktu persekolahan terpaksa menolong nenek menguruskan adik-adik (seramai 3 org lagi di bawah aku). Urusan dan kerja di rumah, biasanya aku yang terpaksa siapkan.

Waktu itu, nenek dan atuk ada ternakan ayam, itik, lembu dan kambing. Mereka juga mengerjakan sawah padi. Bila tiba waktu mengubah anak padi dari tapak semaian ke sawah, aku turut sama-sama menolong. Itupun hanya pada hujung minggu dan hari-hari cuti. Ser0nok bersawah ni, terutama ketika padi-padi mula masak menguning. Aku dan adik-adik ditugaskan menjaga padi dari burung-burung. Kami akan membunyikan tin-tin kosong untuk menghalau burung. Bila padi sudah boleh dituai, kami sama-sama menuai dan membanting padi. Waktu itu memang penat. Bila padi sudah dianginkan ia perlu dijemur dan disimpan di dalam kui iaitu sejenis tempat untuk menyimpan padi. Bila tiba waktu padi itu perlu ditumbuk untuk menghasilkan beras, kami adik-beradik akan saling tolak menolak untuk menumbuknya. Proses menumbuk memakan masa yang agak lama. Tapi yang tidak boleh dilupakan ialah bau wangi nasi beras baru yang ditanak. Harum dan rasanya memang sedap! Ah rindu pada bau nasi tersebut. Ia ditanak menggunakan dapur kayu api. Memang wangi dan sedap.

Selesai musim menuai, jerami padi perlu dibakar untuk proses membajak semula dan bermulalah semula proses menanam padi. Ketika waktu membajak sawah-sawah, waktu ini amat seronok sekali. Kami akan mengikut di belakang orang yang membajak dengan timba-timba kosong untuk memungut ikan-ikan seperti keli, sepat dan haruan. Pada ketika ini keadaannya umpama pesta bagi kami. Bergelumang dengan lumpur. Masa itu tak terfikir dengan lintah-lintah. Memang menyeronokkan.

Jika di luar musim ke sawah, kami akan melakukan aktiviti memancing, kadang kala kami ke belukar yang berhampiran mencari cendawan, buah kelubi, pucuk cemperai macam-macamlah aktiviti kami. Ada kalanya kami beramai mandi sungai, atau anak air. Zaman kanak-kanak memang seronok.

Kami di kampung menggunakan dapur kayu. Jadi tugas aku menolong nenek mencari kayu api di kebun-kebun getah. Memungut dahan atau kayu untuk digunakan semasa memasak. Kerja aku juga menimba air perigi untuk diisi di dalam tempayan. Seawal usia 10 tahun aku sudah pandai menanak nasi dan menggiling cili. Bila aku meningkat dewasa, semakin banyak tugas-tugas yang perlu aku buat. Mencari rumput untuk lembu, memasukkan kambing ke reban pada waktu senja, memberi ayam itik makan. Kerja-kerja rumah telah diwajibkan ke atas aku untuk diuruskan. Kalau memasak, bukan lagi setakat nasi dan menggiling cili sahaja, malah sudah pandai memasak beberapa jenis lauk. Malang rasanya pada waktu itu, tapi rupa-rupanya ia pengalaman yang berguna pada waktu kini. Rasa-rasanya budak-budak zaman sekarang boleh ke buat kerja-kerja yang macam tu?

Bila aku mula memasuki sekolah menengah, bagi aku beban tugas semakin banyak. Perlu menyiapkan kerja-kerja sekolah, kerja di rumah lagi. Aku rasakan seolah-olah ia satu bebanan yang agak berat. !!!!

No comments:

Post a Comment