Tuesday, January 5, 2010

Menginjak Remaja

Assalamualaikum. Lama sungguh tidak menulis. Tahun 1979, selepas keputusan SRP diumumkan, aku agak hampa dengan keputusannya. Tapi apa nak buat. Apa-apa pun aku memohon untuk kemasukan ke sekolah vokasional di Alor Gajah dan permohonan itu diterima. Namun disebabkan nenek aku tidak mengizinkan, maka hasrat itu berkubur di situ sahaja, walaupun aku begitu menginginkannya. Alasannya, tiada sesiapa yang akan menjaga adik-adik aku. Well, dia yang sebagai penjaga, maka keputusannya adalah muktamat.

Aku meneruskan persekolahan ku di SSMS. Bermulanya tahun itu, aku agak aktif dengan sukan dan kelab. Hoki, olahraga, librarian dan persatuan. Aku ditempatkan di kelas 4B. Di kelas itu, aku mula rapat dengan Ruhana, Rozila, Saluah dan beberapa orang lagi. Di kelas aku suka dengan mata pelajaran BM, Cikgu Rahim Hussin yang ajar dan pencapaian aku agak baik.

Tahun berikutnya aku dinaikkan ke kelas 5A. Murid-murid kelas tersebut dahsyat,mereka pandai-pandai belaka. Zamira, Ayob, Ismail, Saadiah, Rosnani, Norlidah dan ramai lagi yang memang pandai. Aku pulak banyak menghabiskan masa di padang dengan latihan sukan. Cikgu selalu marah kat aku kerana tidak pernah dapat menyiampankan kerja-kerja sekolah.

2 bulan sebelum menduduki peperiksaan SPM, aku duduk menumpang di rumah Saluah sebab jarak ke sekolah lebih dekat dan dapatlah belajar lebih lama dan menumpukan perhatian untuk exam. Itupun jenuh aku memujuk nenek aku untuk mendapat keizinannya. Aku tengok kemesraan keluarga Saluah. Mereka agak rapat ialah semua adik-beradiknya perempuan belaka kecuali seorang lelaki. Mak Saluah is a great cook. Orangnya ramping, ramah mesra dan penyayang. Aku suka dan aku turut rasa di sayangi.

Kami sama-sama belajar tetapi ada beberapa perkara yang selalu merungsingkan fikiran aku. Sebagai kakak, aku merasakan aku mengkhianati adik-adik aku. Waktu mereka memerlukan perhatian, aku tiada di samping mereka. AKu sering tidak dapat menumpukan perhatian di dalam pelajaran. Ada lemah dalam beberapa mata pelajaran terutamanya matematik, sains dan bahasa inggeris. Namun aku tiada pembimbing. Waktu dulu guru-guru agak sukar untuk didampingi malah aku juga tidak mampu untuk memasuki kelas-kelas tution. Keputusan peperiksaan SPM agak mengecewakan. Untuk mengulang semula bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana kekurangan sumber kewangan. Akhirnya aku meminta untuk memasuki kelas menaip di Tampin. Untuk ke Tampin dari rumah aku, aku terpaksa berjalan keluar ke jalan utama sejauh 3 km. Mujurnya kelas itu hanya 3 kali seminggu. Aku berjaya di dalam peperiksaan rendah.
AKu bercadang untuk memasuki kelas pertengahan tapi waktu itu busu (emak saudara) memerlukan khidmat aku untuk menjaga anaknya. Maka aku ke Jasin untuk menjaga sepupu aku (bukan aku sahaja kerana kak saudara aku juga ada bersama-sama). Aku meneruskan kursus menaip peringkat pertengahan di Jasin. Aku lulus di peringkat itu. Sehingga itu, khidmat aku diperlukan pula oleh kakak ipar aku. Maka aku ke Pusat Kesihatan Kecil di Lubuk China untuk menjaga anak-anak buah aku kerana pengasuhnya perlu bercuti.

Begitulah aku sebelum aku mula bekerja di kilang elektronik di Melaka. Setakat ini dulu, esok-esok aku akan ceritakan pengalaman aku di kilang tersebut. Hingga berjumpa lagi.

No comments:

Post a Comment